Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru

16 Mei datang lagi... cuma kali ini datangnya hari Sabtu, hari cuti hujung minggu. Jadi tiadalah sambutan di sekolah pada tarikh tersebut..Namun, hari ini handphone milik saya 'hotline' kerana banyak SMS diterima untuk mengucapkan SELAMAT HARI GURU termasuklah daripada bekas anak-anak murid yang sudah 8 tahun meninggalkan SMKPN. Tersentuh juga hati ini... Hari Guru merupakan hari yang paling bermakna bagi seseorang yang bergelar pendidik kerana pada tarikh inilah kita diraikan, walaupun agak terpana dan terfikir sejenak apabila membaca 1 sms yang diterima daripada salah seorang pelajar sekolah saya. Pelajar yang saya kenal tapi tidak pernah saya ajar.. saya rasa dia ambil atau diforward" (dengan izin) daripada sms rakan-rakannya. Bunyinya begini...

"satu-satunya perayaan yang penyambutnya syok sendiri... dia beri ucapan.. dia buat majlis dia tuko hadiah dia main bolo pakai kain batik, dia nyanyi sendiri, dia sukaneka sendiri beli adiah sendiri bebagi sesama sendiri..tu ler hari guru"

Mungkin ada kebenaran kata-kata tersebut kerana kita semua sudah sedia maklum bahawa apabila tiba hari guru ramai pelajar tidak hadir ke sekolah untuk meraikannya., lebih-lebih lagi macam di sekolah saya. Jadi, cikgu-cikgu terpaksa meraikannya sendiri sebab aturcara sudah dirancang, nak tak nak kena buat juga kerana memang sudah termaktub bahawa 16 Mei merupakan Hari Guru..

Bagi murid yang memang menghargai pengorbanan kita sudah tentu ia memberi kesan yang begitu bermakna.. namun, bagi murid yang tidak pernah merasakan kehadiran kita sudah tentu terselit perasaan sedih dalam jiwa kita. Itulah lumrah kehidupan. Ada yang suka, ada yang tidak suka dan ada juga yang langsung tidak pernah ambil kisah... Namun, perjuangan perlu diteruskan..

Saya tidak pernah menyesal menjadi seorang pendidik kerana inilah jalan yang saya pilih... Segala pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit tidak pernah saya kisah demi anak murid sendiri. Begitu besar ertinya tugas seorang guru..Tertarik saya dengan bait-bait sajak karya Usman Awang berbunyi;
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Oleh itu wahai rakan-rakanku "jadilah dirimu GURU TERBILANG. Disentuh kaca menjadi permata.Dicalit suasa menjadi emas..Dicanai impian menjadi nyata..

Guru...Bukan 1 tapi beribu , bukan sementara tapi SELAMANYA, bukan untuk dimusuhi tapi disayangi, bukan untuk dilupai tapi diingati, bukan hanya di sini tapi di mana-mana , bukan setakat ini tapi hingga ke hujung nyawa... SELAMAT HARI GURU buat semua rakan-rakan guru.. Ingat! kita menjadi guru kerana adanya seorang yang bergelar CIKGU di belakang kita... "GURU PEMBINA NEGARA BANGSA"

Thursday, May 14, 2009

Hari ini tanggal 14 Mei 2009, kami guru-guru cemerlang Daerah Pontian berkumpul sekali lagi untuk memantapkan lagi pengetahuan tentang pembinaan laman blog. Seronok sangat kerana mendapat ilmu baru tentang dunia IT ni. .Nanti tak lah dikatakan kita ni ketinggalan zaman.. Bukan apa, kita kena mengikuti arus pembangunan kini. Dunia tanpa sempadan ini banyak mengajar saya erti kehidupan sebenar. Budak-budak sekarang bukan macam budak-budak dulu... Mereka terlalu 'advance' sehingga kadang kala saya takut untuk menghadapinya. Pemikiran mereka terlalu jauh ke hadapan sehingga kita sukar untuk mencapainya. Mudah-mudahan dengan ilmu yang kita perolehi hari ini dapat mengatasi masalah-masalah yang datang dan kita dapat seiring dengan pembangunan ini untuk meneruskan perjuangan sebagai seorang yang dipanggil "CIKGU".

Wednesday, May 6, 2009

salam perkenalan

Assalamualaikum kepada rakan-rakan yang sudi melayari laman blog saya. Semoga kita dapat berkongsi ilmu sama ada berkaitan P&P mata pelajaran Bahasa Melayu atau isu-isu pendidikan masa kini. Saya berharap agar laman blog ini dapat memberi faedah kepada kita semua.