Thursday, August 27, 2009

Selamat Berpuasa...

Assalamualaikum buat semua dan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak.. Hari ini genap 1 bulan saya tidak menulis di laman blog ini... Kekangan masa dan tugasan di rumah menyebabkan aktiviti ini tergendala sebentar. Lebih-lebih lagi pada masa bulan puasa ini tentu sekali letih dan rasa mengantuk saja. Cerita pasal mengantuk ni , teringat masa 2-3 hari sebelum menduduki PTK semalam. Asal baca buku , terlelap... asal buka je terlelap... kenapa lah payah sangat nak masuk ilmu ni... macam mana nak lepas TK2 ni.. Ha... baru tau masa menjawab peperiksaan tu semalam.. banyak yang keliru.. dalam kepala dah macam-macam diingat. Kertas khusus macam dah 'kirim salam' je.. padan muka... ni lah bahana kalau belajar saat-saat akhir.. Kertas Umum nampak macam mudah, tapi bila semak-semak balik ada juga yang salah. Hai.... berserah aje lah... Sebenarnya saja-saja aje ambil PTK kali ni.. sementara menunggu pengesahan untuk mendapat gred hakiki DG44 saya masih berpeluang untuk menduduki PTK - TK2 bagi gred DG41..Almaklumlah, namanya pun MEMANGKU.. belum tentu lagi disahkan menjawat jawatan GC DG44. Bila-bila masa boleh ditarik balik... Mudah-mudahan tidak lah...
Sepanjang tidak terlibat dengan aktiviti GC daerah , saya merancang untuk menjalankan Program Kasih di sekolah sendiri. Taklimat bersama pengetua dan guru-guru BM tingkatan 4 & 5 telah dibuat pada 21 Ogos lalu susulan mesyuarat beliau dengan pihak JPN berkait dengan sekolah yang mendapat peratus kelulusan bawah 65%. Pengetua bagi 4 buah sekolah di daerah Pontian telah dipanggil untuk membincangkan masalah ini termasuklah sekolah kami. Oleh sebab itu, beliau meminta kami untuk memikirkan cara yang terbaik untuk mengatasi masalah tersebut dan mengharapkan kerjasama daripada GC untuk menjalankan tugas tersebut. Saya menyarankan agar setiap kelas di bahagi kepada 3 kumpulan pelajar pelbagai kebolehan iaitu baik, sederhana dan lemah. Kumpulan-kumpulan ini akan dibantu juga oleh guru-guru BM yang lain semasa aktiviti dijalankan. Kami lebih menekankan kepada pendekatan rapat dengan pelajar supaya penerangan dan penjelasan tentang sesuatu masalah lebih mudah diselesaikan dan pelajar berasa lebih dekat dengan guru. Secara tidak langsung, tumpuan akan terus kami berikan kepada pelajar yang menghadapi masalah. Sememangnya pelajar-pelajar saya inginkan tumpuan yang lebih daripada setiap guru. Mereka inginkan perhatian dan berasakan bahawa mereka lebih mudah untuk meluahkan masalah dan bertanya tentang sesuatu perkara yang mereka tidak tahu dan kurang pasti apabila berhadapan dengan guru secara dekat, bukan di hadapan rakan-rakan sewaktu P&P di dalam kelas. Oleh itu, saya berasakan tanggungjawab ini harus saya pikul sebaik-baiknya agar prestasi mereka dalam subjek BM akan meningkat. Insya Allah... Saya sangat mengharapkan kerjasama daripada rakan-rakan lain kerana matlamat ini tidak akan tercapai jika saya seorang sahaja yang melakukannya. Setiap guru ada kelebihan masing-masing dan perlu menunjukkan potensi diri. Harapan saya kepada para pelajar agar mereka juga berusaha dengan lebih gigih dan memberi tumpuan sepenuhnya semasa aktiviti dijalankan nanti... Naik cuti nanti mereka akan menduduki peperiksaan percubaan SPM lebih kurang 2 minggu.. Aktiviti yang dirancang akan terus dijalankan sebaik sahaja kami mendapat keputusan peperiksaan mereka nanti.. Semoga apa yang dirancangkan menjadi..
Rasanya cukup untuk kali ini... Ucapan untuk semua guru di mana sahaja berada semoga dapat menjalani ibadah puasa ini dengan baik dan sempurna...Tak lupa juga untuk meningkatkan prestasi pelajar masing-masing agar daerah Pontian tidak lagi berada di bawah.... Jumpa lagi lain kali...